Wednesday, June 20, 2012

Dari Pengarang


Dengan menyebut nama Allah, Tuhan yang sangat mengasihi dan sangat menyayangi manusia dan segala ciptaanNya, dan dengan mengucapkan salam kepada Nabi Muhammad serta kaum keluarga serta sahabat-sahabatnya, buku ini dipersembahkan kepada pembaca, dengan doa mudah-mudahan ada kebaikan di dalamnya bagi yang membacanya dan Allah pula menyukai hasil kerja ini.


Pertama-tama, sebagai penulis buku ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota Tim Pengkaji Hadith Psikologi yang bersama-sama menjalankan tugas menganalisis data-data hadith yang digunakan dalam buku ini. Mereka adalah: Puan Dr. Wan Mazwati Wan Yusoff, Tn. Ahmad Saifuddin Yusof, Pn. Muna 'Izzah Fadzil, Pn. Rihan Hashim, Pn. Nor Hayati Mohd Redzwan, Tn. Asyraff Hafdzan Abdullah, dan Tn. Mohd. Yusry Yusopp. Daripada kajian dan analisis yang dilakukan secara berkumpulan itu maka dapatlah saya melaporkannya di dalam buku ini.


Beberapa prinsip yang dijadikan pegangan oleh anggota tim pengkaji sepanjang menjalankan kajian dan analisis projek ini adalah seperti berikut:


i. Bagi menjaga ketinggian mutu hasil analisis yang dilaporkan dalam buku ini, hadith-hadith yang dianalisis adalah hadith-hadith yang autentik sahaja, dengan sebahagian besarnya diambil daripada catatan yang terdapat dalam 2 koleksi hadith-hadith autentik yang sangat terkenal dan diterima oleh pakar-pakar ilmu hadith iaitu koleksi Bukhari dan koleksi Muslim.


ii. Analisis yang dijalankan adalah bagi tujuan menggali prinsip, strategi dan teknik-teknik yang terdapat di sebalik teks hadith. Teknik-teknik itulah yang diterangkan dalam buku ini. Struktur buku ini dirangka sedemikian ini adalah kerana tujuan utama buku ini adalah bagi menerangkan teknik-teknik yang dapat digali daripada sesuatu hadith. Format ini digunakan supaya setiap analisis hadith dapat berdiri sendiri, dan dengan demikian isi kandungan setiap bab itu dapat dibaca dan difahami dengan efisien, yakni tanpa menyebabkan pembaca terpaksa berbolak-balik membaca bahagian-bahagian lain bagi memahami topik yang sedang cuba difahami.


Gaya bahasa yang digunakan dalam buku ini adalah dipilih dengan objektif khusus
iaitu supaya pembaca yang bukan Islam sekalipun dapat memahami teknik-teknik Nabi Muhammad yang diterangkan.


Adalah menjadi harapan tim pengkaji supaya buku kelahiran buku ini dapat mendorong lebih banyak kajian seumpama ini dijalankan oleh rakan-rakan pengkaji hadith. InsyaAllah.


Ainon Mohd.

No comments:

Post a Comment